NASIONAL

Aduan penerbangan meningkat 38.1% sehingga Jun 2018

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Laporan Pengguna Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) terbaharu menunjukkan peningkatan 38.1 peratus dalam aduan, iaitu 858 pada Januari dan Jun lalu berbanding 621 dalam tempoh sama, pada tahun sebelumnya.

MAVCOM dalam kenyataan berkata, daripada 858 kes, Malaysia Airlines menerima 427 aduan sepanjang tempoh setengah tahun, 34.7 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

AirAsia mencatatkan 192 aduan, naik 58.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelum ini, manakala Malindo Air melonjak 12.3 peratus kepada 119 aduan.

Katanya, tiga aduan tertinggi adalah berkenaan kesilapan pengendalian bagasi, pemprosesan bayaran balik dan kelewatan penerbangan.

MAVCOM berjaya menyelesaikan 99.4 peratus daripada 858 aduan diterima, pada sepanjang tempoh enam bulan terbabit.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :