SELANGOR

Air pasang besar – MDKS nasihat penduduk berjaga-jaga

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 7 SEPT : Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menasihatkan penduduk di daerah itu untuk berjaga-jaga sepanjang fenomena air laut pasang besar, yang diramalkan berlaku tidak lama lagi.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, ia terutamanya bagi penduduk yang tinggal berhampiran persisiran pantai Kuala Selangor.

“Orang ramai dinasihatkan menghentikan serta menangguhkan sebarang aktiviti di pesisir pantai buat sementara waktu serta mematuhi arahan Pihak Berkuasa Keselamatan dari semasa ke semasa.

“Skuad Pantas MDKS sentiasa berkomunikasi bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor dalam memantau kawasan berisiko tinggi sepanjang fenomena air pasang besar,” katanya kepada SelangorKini.

Rahilah berkata, fenomena itu diramalkan berlaku dari 10 hingga 12 September ini dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.5 meter.

“Sebarang kecemasan berhubung fenomena air laut pasang besar, sila hubungi Bilik Gerakan Pejabat Daerah Tanah Kuala Selangor di talian 03-3289 7632,” katanya.


Pengarang :