PBTSELANGOR

MBPJ pergiat teater, penuhi aspirasi kota seni

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 7 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertekad untuk terus mempergiatkan seni teater sebagai acara utama di Pihak Berkuasa Tempatan itu.

Timbalan Datuk Bandarnya, Johary Anuar berkata, pihaknya meletakkan sasaran ke arah hala tuju mampan kota seni bandar raya terbabit, pada masa hadapan.

“Pembabitan menyeluruh daripada penggiat teater di Selangor dilihat mampu memberi suntikan dan impak baru terhadap Petaling Jaya sebagai kota seni, bagi menyatukan kegiatan seni teater di kawasan ini.

“Sehingga kini, penganjuran aktiviti kebudayaan berlangsung melalui kepelbagaian medium seni merangkumi konsert orkestra, nyanyian, tarian, teater dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Gelanggang Teater Kota Seni PJ 2018, di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Johary optimis pembabitan penggiat teater di Selangor mampu bergerak ke peringkat lebih tinggi dan mencapai tahap antarabangsa jika pusat kegiatan aktiviti teater diperkasakan.

“Kita juga memberikan kemudahan kepada penggiat teater untuk membuat persembahan di auditorium secara percuma setiap tiga bulan sekali dan mereka perlu mengemukakan permohonan kemudahan itu kepada pihak kami.

“Sudah tentu seni teater ini perlu diperhebatkan bagi menyuntik semangat penggiatnya untuk terus berkarya melalui program yang mampu memberi impak positif dalam memajukan bidang teater, terutama dari konteks Petaling Jaya sebagai sebuah kota seni.

“Ia juga perlu dijayakan dengan semangat kerjasama berpasukan supaya semuanya berjalan serentak dan seirama serta memerukam harmonisasi secara keseluruhannya,” katanya.

Sebelum itu, MBPJ bakal menganjurkan ‘Gelanggang Teater Kota Seni PJ 2018’, pada 25 hingga 29 September ini, di Auditorium Dewan Sivik MBPJ, bermula jam 8.30 malam setiap hari.

Penjenamaan baharu pengisian program pembangunan acara ‘Kota Seni PJ’ itu antara acara tahunan bagi menggiat aktifkan kegiatan teater, khususnya di kawasan berkenaan.


Pengarang :