SASTERA

Kepala yang menetap di tubuh lain

Kepala yang menetap di tubuh lain

Setiap orang membaca akhbar yang tertulis berita sendiri. Melihat kepala sendiri di tubuh orang lain. Kita menyangka lidah mereka tersimpan nama kita, dan mendengus jika nama selain itu tidur nyenyak di bawah lelangitnya.

Mengenali orang lain adalah merenung ke dalam mata mereka tapi tidak berusaha menemui apa-apa. Kau tubuh sendiri tapi mereka tubuhmu. Kau mahu kata-katamu terentang di langit dan menjadi ketakjuban seluruh kota. Atau ketakutan. Kaki-kaki yang membantahmu patut dipotong. Di poketmu, selalu tersimpan pisau tajam. Atau boleh saja gigimu, gergaji yang tak pernah gentar bau darah.

Jika satu hari kau telanjang, kau cepat-cepat meminta orang lain segera menutup mata, tidak memandangmu. Atau berharap mereka juga tidak berpakaian. Selepas itu, kau akan memaksa Tuhan menghapus semua kemaluan.

Ab Nurmala


Pengarang :