SASTERA

Cit Cit Gung Gang

Oleh Akif Jebat

 Pertama:

Sengaja saya lepaskan berpuluh-puluh ekor tikus rumah ke kawasan  perumahan saya. Tidaklah saya lepaskan binatang ini dengan sewenang-wenangnya. Terpaksalah juga saya memanjat ke ruang atas siling untuk saya lepaskan kesemua tikus rumah ini tanpa pengetahuan jiran-jiran. Memandangkan saya tinggal di rumah teres, jadinya ruang  atas siling ini tidak mempunyai sempadan. Tikus-tikus rumah yang saya lepaskan itu bebas berlari dari atas siling rumah pertama hingga rumah terakhir di blok  rumah saya. Setiap malam akan kedengaran tikus-tikus ini berlari atas siling rumah. Setelah seminggu, tikus-tikus ini bukan saja bebas berlari atas siling rumah, malah sudah berani meronot masuk ke dalam rumah atau setidak-tidaknya menyelongkar barang-barang di belakang rumah. Tong sampah, sisa makanan  di dapur dan longkang rumah menjadi sasaran tikus-tikus ini mencari rezeki.

“Cit cit cit cit cit cit cit cit cit Cit cit cit cit cit cit cit cit cit Cit cit cit cit cit cit cit cit cit”

“Gung gang gung gang gung gang gang gung gang gung gang gang gung gang”

Setelah dua minggu berlalu, tikus-tikus rumah yang saya lepaskan ini semakin berleluasa dan bermaharajalela. Mereka menjadi ancaman baru kepada penduduk-penduduk kawasan perumahan ini. Terdengar juga rungutan jiran-jiran tentang ancaman tikus rumah yang saya lepaskan ini.

“Tiap-tiap malam tak boleh tidur melayan tikus-tikus ni.”

“Gung gang gung gang bunyi bising belakang rumah, ingatkan pencuri , rupa-rupanya tikus.”

Ada juga usaha-usaha jiran tetangga untuk hapuskan tikus-tikus ini. Pasang perangkap, lempar racun dan tangkap-bunuh. Namun semua itu masih belum berjaya menghapuskan decitan tikus-tikus rumah yang saya sengaja lepaskan ini.

 Kedua:

Setelah tiga minggu membiarkan tikus-tikus ini bermaharajalela, sudah tiba masanya saya lepaskan kucing-kucing peliharaan saya untuk menjadi pemangsa kepada tikus-tikus ini. Sehari semalam saya tidak memberi makanan kepada kucing-kucing peliharaan saya. Sengaja saya membiarkan mereka dalam  kelaparan. Seperti tikus-tikus rumah itu, kucing-kucing peliharaan saya ini juga telah saya lepaskan di ruang atas siling rumah saya. Dalam kelaparan, saya yakin kucing-kucing peliharaan saya boleh berdikari dan dapat mengembalikan naluri pemangsa mereka setelah sekian lama dimatikan oleh Royal Canin dan seangkatan dengannya. Maka setiap malam berlakulah peperangan hebat di atas siling blok rumah yang saya diami.

“Cit cit cit cit cit cit cit cit cit Cit cit cit cit cit cit cit cit cit Cit cit cit cit cit cit cit cit cit”

“Gung gang gung gang gung gang gang gung gang gung gang gang gung gang”

Saya fikir mungkin saya seorang saja penghuni kawasan perumahan ini yang menikmati irama “Cit cit gung gang”  dengan penuh kesyahduan. Saya tersenyum puas. Barangkali saya bolehlah diibaratkan seperti seorang komposer yang berjaya mencipta lagu dan irama baru tanpa menggunakan gitar, piano atau alat muzik lain. Irama “Cit cit gung gang” yang saya ciptakan menjadi halwa telinga penghuni kawasan perumahan ini setiap malam. Jiran-jiran lain kedengarannya sudah merungut akan irama “Cit cit gung gang” saya.

“Malam-malam rumah macam nak runtuh”

“Habis lekang siling-siling rumah saya”

“Cit cit cit cit cit cit cit cit cit Cit cit cit cit cit cit cit cit cit Cit cit cit cit cit cit cit cit cit”

“Gung gang gung gang gung gang gang gung gang gung gang gang gung gang”

Ketiga: 

Setelah hampir dua bulan membiarkan tikus-tikus dan kucing peliharaan saya memainkan irama “Cit cit gung gang” setiap malam, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya pula naik ke ruang atas siling  rumah. Saya juga mahu terlibat dengan permainan irama “Cit cit gung gang”. Ruang atas siling ini agak kelam, saya terpaksa memasang lampu suluh pada kepala saya seperti orang yang memasuki gua. Berjalan di atas siling rumah perlulah berhati-hati. Saya terpaksa berjalan menuruti tulang siling dan alang rumah. Kalau saya terleka, bila-bila masa saja saya kaki saya boleh melekangkan siling dan badan saya terus menyembah lantai rumah.

“Cit cit cit cit cit cit cit cit cit Cit cit cit cit cit cit cit cit cit Cit cit cit cit cit cit cit cit cit”

“Gung gang gung gang gung gang gang gung gang gung gang gang gung gang”

Kedengaran bunyi tikus-tikus dan kucing peliharaan saya berlari atas siling. Saya teruja mendengarnya dan ikut serta memainkan irama “Cit cit gung gang”. Saya membawa bersama sepasang bongkah kecil polistirena dan melagakannya untuk mengeluarkan bunyi “Cit cit”. Kaki kanan saya bertindak untuk mengeluarkan  bunyi “gung” dan kaki kiri pula sebagai “gang”.

“Cit…  cit… gung… gang… gung… gang… cit… cit… gang… gung… cit… gung…”

Pada mulanya saya berasa agak susah dan canggung juga memainkan irama “Cit cit gung gang” yang dimainkan oleh tikus-tikus dan kucing-kucing peliharaan saya ini saban malam.

“Cit cit cit cit cit cit cit cit cit Cit cit cit gung gang gung gang gang gung gang”

Saya semakin hampir mendapatkan rentak irama “Cit cit gung gang”. Sekarang saya rasakan seperti seorang konduktor yang memimpin muzik orkestra. Wajah Ramli M.S terbayang dalam minda saya. Saya terus mencuba berkali-kali tanpa jemu.

“Cit cit cit cit cit cit cit cit cit Cit cit cit cit cit cit cit cit cit Cit cit cit cit cit cit cit cit cit”

“Gung gang gung gang gung gang gang gung gang gung gang gang gung gang”

Kedengaran suara anak kecil di salah sebuah rumah jiran saya.

“Ayah, bunyi apa atas siling tu? Kenapa malam ni bising sangat”.

“Oh, macam biasa la, bunyi kucing tu. Mesti sedang kejar tikus”.

Saya tersenyum puas. Permainan saya menjadi.

Akhir Sekali:

Keesokan harinya, sewaktu saya pulang dari bandar, kelihatan kereta polis berada di depan rumah jiran saya. Saya singgah sebentar untuk bertanyakan hal yang berlaku. Kelihatan jiran saya duduk di depan rumah dengan wajah sugul. Saya bersalam dan bertanya kepadanya.

“Ada apa polis datang sini?”

“Semalam rumah saya telah dimasuki pencuri. Habis hilang barang-barang berharga di bilik belakang rumah saya. Saya syak dia masuk ikut siling. Semalam ada bunyi kuat di bahagian siling. Saya ingat kucing dan tikus saja.

Saya turut menumpang simpati terhadapnya. Saya kemudiannya masuk ke rumah saya dan memastikan keadaan siling supaya terpasang kemas. Kemudian saya mencari kucing-kucing saya yang turun bersama saya semalam. Saya memberinya makan Royal Canin yang baru dibeli (setelah dua bulan tidak cukup wang untuk membelinya).


Pengarang :