SELANGOR

Hampir 200 sertai Kayuhan Kumpulan Perangsang, santuni asnaf

OLEH SHEEDA FATHIL

SABAK BERNAM, 20 OKT: Hampir 200 peminat sukan berbasikal menyertai Kayuhan Amal sejauh 32 kilometer pada Program Singgah Mesra Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Kumpulan Perangsang).

Program siri keempat itu buat pertama kalinya menampilkan aktiviti sukan berbasikal berkonsepkan ‘fun ride’ yang diadakan di Dewan Seri Nakhoda, Pekan Bagan Nakhoda Omar, di sini, hari ini.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik Kumpulan Perangsang, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, program itu bertujuan memberi peluang kepada warga kerja mendekati masyarakat sambil menyantuni golongan asnaf dan kurang bernasib baik.

“Kali ini kita memilih daerah Sabak Bernam sebagai destinasi bertujuan merapatkan ukhwah dan mendekati penduduk setempat sambil berkayuh mengelilingi kawasan kampung dan persisiran pantai.

“Selain itu, sambil berkayuh kita juga singgah di dua rumah golongan asnaf sekitar sini untuk menghulurkan bantuan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kayuhan Amal Singgah Mesra Kumpulan Perangsang, di sini.

Mohd Fauzi berkata, dalam kayuhan itu peserta berbasikal turut singgah di rumah seorang warga emas yang uzur dan seorang muallaf kurang berkemampuan untuk menghulurkan bantuan.

“Dalam perjalanan, kami singgah di rumah warga emas, Rubadi Abas dengan menghulurkan bantuan kewangan manakala, seorang muallaf, Adam turut menerima bantuan peralatan perniagaan demi menyara kehidupan keluarga.

“Selain itu, hari ini kita juga menyerahkan sumbangan wang tunai kepada 18 individu asnaf terpilih dari kampung ini diikuti jamuan kenduri rakyat,” katanya.

Menariknya, antara pengisian program turut diadakan aktiviti sukan rakyat seperti kupas buah kelapa, pertandingan azan dan hafazan golongan remaja serta pertandingan mewarna kanak-kanak.

Program Kayuhan Amal Singgah Mesra Kumpulan Perangsang siri ke empat itu dianjurkan dengan kerjasama Kelab Sahabat Generasi Dinamik Malaysia (Genesis) dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bagan Nakhoda Omar.

Selain itu, turut sama menganjurkan adalah Clever Speda; Perangsang Cycling Team; Kota Raja Cycling Club dan media Sinar Harian.


Pengarang :