NASIONAL

Kerajaan teliti kelangsungan Bantuan Musim Tengkujuh

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kerajaan Persekutuan sedang meneliti kelangsungan program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk peneroka dan pekebun kecil sawit serta getah.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kerajaan turut menerima beberapa cadangan daripada pihak berkaitan termasuk pemain industri, persatuan pekebun kecil dan persatuan bumiputera getah berkenaan perkara terbabit.

“Kerajaan sedang meneliti perkara ini dan saya percaya ketika pembentangan belanjawan (Jumaat ini), mungkin ada beberapa lagi perkara berkaitan industri getah dan sawit akan diumumkan kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) berkenaan BMT, memetik laporan BERNAMA.

Pada masa sama, katanya, kerajaan sedang mempergiatkan program latex tempatan untuk membantu pekebun kecil menambah pendapatan memandangkan harganyalebih tinggi berbanding getah sekerap.

“Kerajaan memperuntukkan RM12 juta tahun ini bagi pelaksanaan program itu,” katanya.

 


Pengarang :