PBTSELANGOR

MBSA tambah peruntukan buat MPP RM20,000

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menambah peruntukan program buat Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) sebanyak RM20,000 menjelang 2019.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, manakala peruntukan pengurusan MPP dikekalkan sebanyak 20,000 setahun.

Katanya, ini kerana MBSA melihat perkembangan positif melalui pelbagai aktitiviti yang dianjurkan kesemua 24 Zon MPP seluruh Shah Alam.

“Kami akan terus memperkasakan institusi MPP kerana ia merupakan platform terbaik membentuk masyarakat harmoni dan bersatu padu melalui penganjuran pelbagai program dan aktiviti.

“Oleh itu setiap MPP perlu bergerak lebih proaktif dan agresif dalam menganjurkan program yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat seperti gotong-rotong dan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Karnival Sukan Bendang anjuran MBSA di Taman Botani Negara, Bukit Cahaya Seri Alam, di sini, hari ini.

Ahmad Zaharin berkata, karnival kali pertama diadakan itu juga bertujuan untuk memperkenalkan kembali permainan sukan tradisional kepada penduduk Shah Alam.

“Antara aktiviti sukan bendang yang diadakan termasuk tarik tali, galah panjang, congkak, batu seremban dan banyak lagi.

“Melalui penganjuran karnival ini saya yakin ia mampu memupuk perpaduan, menyemai semangat kerjasama, memperkukuhkan hubungan serta melahirkan masyarakat yang sihat, cergas dan bersatu padu tanpa mengenal usia, kaum dan agama,” katanya.


Pengarang :