SELANGORSUKANKINI

SOPMA18: Kontinjen Selangor berjaya dengan semangat tinggi, konsisten

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 21 OKT: Kontinjen Selangor ke Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 mencatat kejayaan membanggakan dengan persembahan bersemangat dan konsisten dalam kejohanan berkenaan.

Ketua Kontinjennya, Aqlam Jafri berkata, dengan persiapan ditempuh singkat, keupayaan mengumpul dua pingat emas, dua perak dan lapan gangsa dalam SOPMA ke 20 itu boleh dianggap satu kejayaan.

“Kontinjen mempunyai semangat bersukan dan disiplin baik ketika menyertai lima acara walaupun hanya memenangi dua emas.

“Ini berikutan latihan singkat dalam tempoh kira-kira sebulan diikuti atlet termasuk peruntukan terhad diterima persatuan,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Selangor menyertai SOPMA 2018 bermula 15 hingga 20 Oktober dengan 84 pegawai dan atlet bersaing dalam semua lima acara dipertandingkan iaitu tenpin boling, bola sepak, futsal, badminton dan olahraga.

Aqlam berkata, pengurusan kontinjen Selangor juga memerlukan latihan serta menimba ilmu pengetahuan, kepimpinan dan kefahaman terutama peraturan dalam SOPMA bagi membentuk pasukan lebih baik pada masa depan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor (SelSDeaf) berkata, pihaknya merancang mengadakan program klinik sukan dan sukan terbuka terutama kepada pelajar sekolah untuk mencungkil bakat baharu.

Katanya, dengan cara itu atlet sukan berpotensi akan diserap ke latihan sukan jangka panjang dengan kerjasama MSN Selangor sebelum dipilih mewakili Selangor ke kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kita berharap pihak tertentu memberi bantuan termasuk dalam bentuk latihan kepada atlet kerana tanpa bantuan, mereka tidak akan berjaya mencapai prestasi memuaskan.

“Kita juga memerlukan jurulatih berlesen untuk melatih atlet ke arah kecemerlangan sukan Selangor,” katanya.

Katanya, SelSDeaf merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, MSN Selangor dan penaja serta pihak berkaitan yang membantu kontinjen Selangor ke SOPMA ke-20 tahun ini.


Pengarang :