GLOBAL

Nahas Lion Air: Pasukan mencari temui beberapa mayat

JAKARTA 30 OKT: Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia menemui beberapa lagi mayat di lokasi pesawat Lion Air yang terhempas ke dalam laut dan mengorbankan semua 189 penumpang serta anak kapal.

Ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Muhammad Syaugi berkata, puluhan penyelam terbabit dalam usaha menyelamat.

Pasukan penyelamat sudah mengisi 10 beg dengan anggota badan manusia yang akan dibawa ke Jakarta untuk dikenal pasti identiti mayat.

Katanya, sebanyak 14 lagi beg diisi dengan serpihan pesawat yang dikumpulkan dan usaha mencari bangkai pesawat di dasar laut masih diteruskan hari ini.

“Kami berharap dapat menjumpai rangka utama kerana serpihan pesawat yang terapung di air sudah dikutip,” kata Syaugi.

Bagaimanapun, agensi itu menolak kemungkinan untuk mencari mangsa yang selamat semalam, selepas menjumpai bahagian badan manusia selepas pesawat itu dipercayai terjunam sedalam 30 hingga 40 meter ke dalam Laut Jawa.

“Keutamaan kami ketika ini adalah untuk mencari rangka utama pesawat dengan bantuan kapal perang yang dilengkapi peralatan sonar untuk mengesan logam bawah air,” kata jurucakap agensi pencarian dan penyelamat Indonesia, Yusuf Latif.

Setakat ini agensi mencari masih belum menjumpai perakam suara dan data.

Pesawat malang itu dalam penerbangan dari Jakarta menuju ke Pangkal Pinang sebelum ia terputus hubungan, kira-kira jam 6.30 pagi.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :