SELANGORSUKANKINI

Piala Raja Muda Selangor kembali cungkil bakat baharu

SHAH ALAM, 30 OKT: Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor edisi ke-31 kembali untuk mencungkil bakat baharu pemain bola sepak bawah 12 tahun, bermula 22 Oktober lalu, di Sekolah Kebangsaan Seksyen 24, di sini.

Pengerusinya, Dato’ Emran Kadir berkata, kejohanan itu berupaya menggilap bakat anak muda dari peringkat akar umbi supaya mencapai tahap kemahiran lebih tinggi dalam bola sepak.

“Pemain yang dikenal pasti mempunyai potensi berpeluang diserap ke sekolah sukan, di Selangor untuk mendapatkan latihan dan bimbingan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, kejohanan itu masih mengekalkan pembabitan 576 pemain daripada 32 pasukan, iaitu 20 sekolah rendah mewakili Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan 12 sekolah dari PPD Petaling Utama.

Katanya, pasukan berkenaan dibahagikan kepada lapan kumpulan menerusi proses undian dengan
perlawanan berlangsung secara liga.

“Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke pusingan kedua dan seterusnya ke peringkat suku akhir, separuh akhir serta akhir yang dijangka berlangsung, pada 15 November ini,” katanya.

Johan bakal menerima wang tunai RM4,000, piala, pingat dan sijil, manakala naib johan RM3,000, tempat ketiga dan keempat masing- masing RM2,000 serta RM1,000 berserta pingat juga sijil.

Piala Raja Muda adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Perangsang
Selangor di bawah program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) bagi menyediakan platfom pembangunan sukan bola sepak.

Atlet berbakat berpeluang diserap sebagai pemain skuad pelapis dan belia, di Selangor.

Perangsang Selangor masih kekal sebagai penaja utama kejohanan buat kali keenam berturut-turut dengan tajaan RM100,000.


Pengarang :