EKONOMI

Wall Street pulih, Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini susulan pemulihan di Wall Street, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.01 mata kepada 1,739.85 daripada 1,736.84 pada Selasa.

Indeks dibuka 4.69 mata lebih tinggi kepada 1,741.53.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 288 berbanding 69, dengan 142 kaunter tidak berubah, 1,898 tidak diniagakan dan 27 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 241.63 juta unit bernilai RM117.17 juta.

Seorang peniaga berkata S&P500 Wall Street, Nasdaq Composite dan Dow Jones Industrial Average kesemuanya mencatat keuntungan terbesar dalam satu hari sejak akhir Mac, dan akan membantu meningkatkan sentimen dagangan dalam pasaran tempatan.

“Rintangan segera untuk FBM KLCI kekal pada 1,742 manakala sokongan kekal pada 1,697,” katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM9.56 dan Petronas Chemicals menokok dua sen kepada RM9.42.

Public Bank turun empat sen kepada RM24.94 dan CIMB susut dua sen kepada RM6.01, manakala TNB tidak berubah pada RM14.62.

Bagi saham aktif, Vortex dan Nova MSC masing-masing susut setengah sen kepada sembilan sen dan 16.5 sen, manakala XOX tidak berubah pada 5.5 sen.

Barakah Offshore turun 1.5 sen kepada 11 sen dan Nextgreen susut satu sen kepada 48.5 sen.

Indeks FBM Emas Shariah naik 36.54 mata kepada 12,060.51, Indeks FBM Ace meningkat 47.09 mata kepada 5,039.48 dan FBM 70 menambah 69.119 mata kepada 13,931.06.

Indeks FBM Emas meningkat 32.76 mata kepada 12,041.71 dan Indeks FBMT 100 menambah 29.41 mata kepada 11,871.37.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 23.35 mata kepada 7,377.61, namun Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 29.521 mata kepada 17,618.96, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian melonjak sedikit sebanyak 0.56 kepada 172.77.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :