SELANGOR

Belanjawan Selangor 2019: Rodziah sasar pemodenan usahawan

OLEH NADIAH ZAMLUS

MORIB, 18 NOV: Belanjawan Selangor 2019 yang bakal dibentangkan pada 23 November ini diharap dapat memodenkan kumpulan usahawan, di negeri ini.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, ia bagi memastikan golongan usahawan tidak berada pada tahap ‘biasa-biasa’ sahaja.

“Kerajaan Selangor terutama di bawah portfolio saya berharap supaya belanjawan ini membolehkan usahawan mempunyai modal untuk memiliki aset.

“Justeru, bagi menjayakannya, Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan lagi pembangunan insan dalam kalangan peniaga ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Karnival Jelajah Usahawan Selangor 2018 peringkat daerah Kuala Langat, di Dataran Pantai Morib, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan keterujaan untuk mendengar pengumuman belanjawan kali ini kerana ia pertama kali Kerajaan Negeri dan Persekutuan bergerak seiringan.

“Hampir 10 tahun lamanya Kerajaan Negeri cuba ‘survive’ sendiri tanpa mengharapkan Kerajaan Persekutuan sepenuhnya, tetapi kali ini kita sudah sama dan saya pasti akan ada elemen kejutan dalam belanjawan 2019.

“Jika sebelum ini kita banyak ketinggalan untuk mendapat manfaat daripada Kerajaan Persekutuan, sekarang sudah tidak lagi, saya pasti elemen sebegini akan membantu usahawan di Selangor,” katanya.


Pengarang :