SELANGOR

PBT terima penghargaan Kerajaan Negeri

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 NOV: Semua Pihak Berkuasa Tempatan, di negeri ini menerima sumbangan RM7,000 daripada Kerajaan Selangor sebagai penghargaan menjayakan Kempen Bebas Plastik, sejak 2017.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, sumbangan itu turut memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Negeri melaksanakan kempen berkenaan.

“Kerajaan Selangor juga akan turut memberikan sijil penghargaan kepada premis perniagaan yang memberikan komitmen sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kempen Bebas Plastik 2018, di Foyer Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pemberian sijil diberikan kepada premis perniagaan berdasarkan kriteria ditetapkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna.

Katanya, ia termasuk memasang poster Kempen Bebas Plastik di premis perniagaan, meletakkan notis pemberitahuan hari tanpa beg plastik di kaunter dan menggunakan hasil kutipan 20 sen untuk melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Kesan daripada pelaksanaan kempen ini mungkin tidak dapat dilihat dalam jangka masa pendek tetapi akan memberikan banyak manfaat dalam jangka masa panjang.

“Justeru, sokongan dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk menjayakannya,” katanya.


Pengarang :