NASIONAL

Rosmah, Rizal, Ku Nan dan Eng Boon bakal didakwa esok

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 NOV: Empat individu; Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor, Tengku Adnan Tengku Mansor dan seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon bakal didakwa esok dalam dua kes berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Rosmah dan Rizal berhubung siasatan kes membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak pada 15 November 2018, jam 2.30 petang.

Rosmah juga telah dipanggil di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 12.00 tengah hari ini bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan tersebut.

Dalam kes berasingan, SPRM telah menahan Tengku Adnan yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berhubung siasatan kes penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada jam 3.25 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

Tengku Adnan akan dituduh bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tarikh dan waktu yang sama esok, setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.


Pengarang :