EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia teruskan aliran meningkat

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkat semalam untuk dibuka lebih tinggi hari ini berikutan minat belian bagi saham berwajaran tinggi terpilih kekal, didorong oleh keputusan Bank Negara Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus, menurut peniaga.

Pada 9.15 pagi, pendaras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) 3.34 mata lebih tinggi pada 1,696.93 berbanding 1,693.59 semasa ditutup semalam selepas dibuka 6.0 mata lebih tinggi pada 1,699.59.

Suasana pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 180 berbanding 107, manakala 161 kaunter tidak berubah, 1,464 tidak didagangkan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 229.39 juta saham bernilai RM85.23 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Maybank IB Research percaya FBM KLCI akan berada pada julat antara 1,680 dan 1,710 mata hari ini dengan disandarkan pada 1,658 dan 1,644 mata.

“Disebalik penyusutan ringgit dan harga minyak mentah Brent, minat pelabur terus kekal terhadap saham lebih murah berikutan penilaian menarik,” katanya.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang pertama pada tahun ini yang berlangsung semalam, bank pusat mengekalkan kadar OPR pada enam mesyuarat berturut-turut dan sejak kenaikan +25 mata asas setahun lalu.

Berikutan BNM mengakui momentum pertumbuhan global adalah pada tahap sederhana berikutan ketegangan perdagangan akan memberikan kesan berserta risiko yang akan menjejaskan pertumbuhan, Maybank IB berkata bank pusat mengunjurkan pertumbuhan ekonomi akan kekal kukuh disokong oleh permintaan sektor swasta berikutan pengurangan perbelanjaan oleh orang ramai dan permintaan luaran yang lebih lemah.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.62, Public Bank dan TNB masing-masing turun dua sen kepada RM24.80 dan RM13.60, manakala Petronas Chemicals naik enam sen kepada RM8.58.

Dalam kalangan saham cergas, Bumi Armada dan Barakah Offshore masing-masing naik satu sen kepada 23.5 sen dan sembilan sen, Hubline menokok setengah sen kepada enam sen dan Datasonic naik dua sen kepada 53 sen.

Indeks FBM Emas naik 25.22 mata kepada 11,745.06, Indeks FBMT 100 melonjak 24.20 mata kepada 11,627.29, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 32.15 mata kepada 11,677.58, FBM 70 naik 34.37 mata kepada 13,874.86 manakala Indeks FBM Ace susut 13.01 mata kepada 4,437.86.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 20.91 mata kepada 17,611.31, Indek Perladangan meningkat 7.43 mata kepada 7,297.18 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.55 mata kepada 162.73.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :