NASIONAL

Jangan mudah terpedaya promosi diskaun saman

KUCHING, 25 JAN: Orang ramai disaran tidak mudah terpedaya dengan ‘promosi’ diskaun saman trafik ditawarkan individu atau sindiket tertentu.

Bukit Aman dalam risikannya mendapati tawaran itu adalah helah sindiket mengaut keuntungan mudah, sedangkan bayaran saman tidak diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, orang ramai terpedaya dengan tawaran sindiket yang bersekongkol dengan pegawai dan anggota jabatannya sehingga mudah menyerahkan bayaran sewenang-wenangnya.

“PDRM ada sistem bayaran saman yang dikawal selia dengan rapi. Polis dapati ada pengguna sudah membayar sejumlah wang kepada sindiket untuk menyelesaikan saman namun kesalahan yang dilakukan masih ada dalam sistem kami.

“Ini bermakna sindiket mengaut keuntungan mudah sehingga ramai yang tertipu dan datang ke Bukit Aman untuk membuat rayuan,” katanya memetik laporan BH Online.

Mengikut statistik PDRM, purata 5.5 juta saman dikeluarkan setiap tahun, namun kadar pembayaran hanya 40 peratus daripada jumlah itu.

Beliau berkata, pegawai dan anggota polis yang dikesan bekerjasama dengan sindiket ini akan dikenakan tindakan sewajarnya tanpa ada kompromi.

Katanya, terdapat beberapa kes yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada suruhanjaya berkenaan.


Pengarang :