SELANGORSUKANKINI

FAS terima penajaan Vizione Holdings Berhad

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JAN: Kerjasama dan sokongan sektor korporat terhadap Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dilihat semakin memberangsangkan apabila menerima penajaan rasmi terbaharu daripada Vizione Holdings Berhad (Kumpulan Vizione).

Jalinan strategik bersama syarikat kejuruteraan pembinaan bersepadu itu, sekali gus mampu menggerakkan skuad The Red Giants dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim ini.

FAS menerusi kenyataan berkata, ia bakal menyaksikan sokongan kepada badan itu daripada segi penajaan kewangan, penambahbaikan pembangunan infrastruktur untuk kemudahan latihan dan peningkatan, di Stadium Shah Alam.

“Penajaan ini juga akan melihat logo Vizione muncul di belakang jersi pasukan pemain Selangor dan pelbagai aplikasi penjenamaan lain melalui landasan komunikasi digital pasukan.

“Pembangunan FAS dengan sokongan rakan penaja juga merangkumi operasi membabitkan skuad utama Liga Super, skuad Piala Presiden, Piala Belia, pasukan wanita dan pasukan futsal,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, FAS yang diterajui Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi membentuk jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran untuk memperkasa potensi pemain serta pasukan Selangor.

Kemajuan sains sukan akan diterapkan sebagai elemen penting dalam skuad bola sepak Selangor bagi membantu meningkatkan prestasi dan membentuk kekuatan pasukan terbabit.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Vizione, Dato’ Ng Aun Hooi dilaporkan berkata, usahasama itu diharap dapat membantu pasukan Selangor untuk melakar lebih banyak kejayaan seterusnya mengangkat kembali kegemilangan skuad bola sepak berkenaan.

“Kami sangat teruja dapat menjalin kerjasama dengan Selangor FA, sebuah pasukan yang kaya dengan kejayaan dan sejarah bola sepak di negara ini dan berharap untuk kejayaan masa depan pasukan ini di bawah kepimpinan Tengku Amir Shah, pasukan pengurusannya serta barisan pemain,” katanya.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon pula melahirkan rasa terima kasih selain menyambut baik komitmen syarikat itu untuk menjadi rakan penaja demi masa depan bola sepak Selangor.

“FAS mengalu-alukan Vizione Holdings Berhad kepada keluarga Red Giants dan sangat bersyukur di atas sokongan serta keyakinan Vizione untuk menjadi rakan penaja kami demi masa depan bola sepak Selangor.

“Kami berharap melalui kerjasama ini, maka lebih banyak syarikat akan tampil sebagai rakan penaja kepada FA Selangor,” katanya.

Vizione adalah sebuah syarikat perkhidmatan kejuruteraan awam termasuk pembinaan infrastruktur dan pembangunan hartanah yang tersenarai dalam Bursa Malaysia dengan modal pasaran sekitar RM500 juta, pada akhir 2018.


Pengarang :