SELANGOR

Jelajah Maju Bersama diteruskan di daerah Petaling

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JAN: Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari diteruskan di daerah ke lima iaitu Petaling, hari ini.

Ia dimulakan dengan perhimpunan pagi dan sarapan bersama penjawat awam sebelum mesyuarat bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Bagaimanapun, mesyuarat MMKN itu terpaksa dibatalkan susulan kematian Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor.

Amirudin berkata, program itu kesinambungan jelajah tahun lepas, yang mensasarkan turun padang di sembilan daerah negeri berkenaan.

“Daerah Petaling ini merupakan nadi penting pembangunan dalam negeri ini. Pastinya pertemuan awal tahun ini wajar memberi manfaat dan seharusnya ia memberi arah tuju penting bagi meneruskan kecemerlangan negeri maju.

“Diperingkat Kerajaan Negeri, kami tidak mahu rakyat ketinggalan untuk berkongsi kejayaan dan kemajuan dikecapi negeri.

“Oleh itu, dalam konteks penting ‘Maju Bersama’, kita mengajak semua pihak untuk sederap selangkah bersama Kerajaan Negeri mensejahterakan rakyat dan merancakkan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan amanat kepada penjawat awam di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri dijangka akan mengadakan jelajah disetiap parlimen di negeri itu selepas berakhir di sembilan daerah nanti.

“Dalam tempoh lima tahun ini, kami menyasarkan untuk turun padang ke setiap pelusuk negeri.

“Oleh itu, selepas ini kami menjangkakan akan turun padang ke semua parlimen selepas berakhir program jelajah maju bersama,” katanya.

 


Pengarang :