SELANGOR

Lebih RM20,000 dikutip, iltizam komponen PAKATAN tak guna dana kerajaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 20 JAN: Lebih RM20,000 berjaya dikutip menerusi penjualan 300 meja dalam Majlis Makan Malam DAP diadakan di sini, malam tadi.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, majlis berkenaan bertujuan mengumpul dana secara telus dan berintegriti serta ia selaras dengan iltizam gabungan politik Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk tidak menggunakan dana kerajaan bagi aktiviti politik parti.

“Kita mengutamakan budaya baharu dalam politik walaupun sudah berjaya menakluk Putrajaya, budaya DAP untuk mengumpul dana dari sumbangan orang awam, jadi kita meneruskan kesinambungan itu.

“Ini sebagai bukti untuk kita berkomunikasi dengan rakyat dan saya berharap ia akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya selepas majlis makan malam itu.

Suee Lim yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, DAP juga mahu gerak kerja parti komponennya dapat terus berjalan lancar demi manfaat rakyat.

“Kita mahu mengakhiri cara yang lapuk terutama apabila membabitkan perihal atau praktis pembiayaan politik.

“Oleh sedemikian, kita mengadakan majlis makan malam amal ini secara terbuka kepada awam,” katanya Ahli Dewan Negeri Sekinchan itu.

Pada masa sama, beliau berkata, PAKATAN berpendapat adalah lebih baik menerima sumbangan dari awam berbanding merompak wang dari rakyat.

 


Pengarang :