PENDIDIKANSELANGOR

Sasar hubungan pendidikan dua hala Malaysia-Turki

BESTARI JAYA, 13 FEB: Universiti Selangor (UNISEL) menerima menerima kunjungan hormat Duta Turki ke Malaysia, H.E Dr Merve Safa Kavakci, bersempena syarahan khasnya bertajuk “Prospects For Turkey – Malaysia Relations in Education”, semalam.

Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, ia adalah kunjungan pertama Duta Turki itu ke UNISEL Kampus Bestari Jaya.

“Lawatan ini amat bersejarah bukan sahaja buat warga UNISEL, malahan juga kepada perhubungan pendidikan antara Malaysia dan Turki,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Dr Merve Safa menyatakan hasratnya untuk mengukuhkan lagi perhubungan dengan Malaysia melalui pertukaran ilmu, teknologi dan perkhidmatan.

Beliau yang dilantik menjadi Duta Turki ke Malaysia pada awal 2018 juga menyasarkan peningkatan dalam hubungan perdagangan dan pendidikan dua hala antara Malaysia serta Turki.

“Saya berasa amat kagum dengan inovasi pendidikan ditunjukkan sebahagian institusi pengajian tinggi di Malaysia dan berharap ia dapat membuka ruang pertukaran ilmu yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Beliau juga berharap kedua-dua negara dapat bekerjasama dalam bidang pendidikan bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Turki.

 


Pengarang :