GLOBAL

12 tentera cedera konvoi Gabenor di Cameroon diserang

YAOUNDE, 13 FEB: Sekurang-kurangnya 12 anggota tentera dan seorang wartawan cedera pada Selasa apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang konvoi yang membawa gabenor Barat Daya, satu daripada dua wilayah Anglophone yang bergolak di Cameroon, lapor agensi berita China, Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.

“Dalam satu lawatan ke Kumba, Gabenor Okalia Bilai telah ditembak oleh puak Ambazonia (kumpulan pemisah bersenjata). Tiga anggota tentera cedera parah,” menurut tentera dalam satu kenyataan, lapor BERNAMA.

Pihak berkuasa tempatan berkata, konvoi itu diserang ketika gabenor terbabit dalam perjalanan untuk menziarahi keluarga mangsa insiden kebakaran sebuah hospital yang meragut empat nyawa pada Isnin.

“Gabenor tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata seorang pegawai tentera yang enggan dikenali kepada Xinhua.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa lebih 430,000 penduduk hilang tempat tinggal di negara itu sejak tentera kerajaan mula bertempur dengan pemisah bersenjata pada November 2017.

Kumpulan pemisah berjuang untuk merdeka daripada Cameroon dan menubuhkan negara yang dikenali sebagai “Ambazonia” di dua wilayah Anglophone di sebelah barat laut dan barat daya negara itu.


Pengarang :