NASIONAL

Polis tahan lelaki bawa dadah ke pusat khidmat wakil DAP

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Polis mengesahkan pihaknya telah menahan seorang lelaki di bawah pengaruh dadah di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kepong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya menahan lelaki berusia lewat 30-an itu selepas menerima laporan daripada Pegawai Khas Anggota Parlimen Kepong, Dic Lai kira-kira jam 5 petang.

“Beliau (Dic Lai) membuat laporan mengenai kehadiran seorang lelaki yang mencurigakan dan dipercayai di bawah pengaruh dadah serta membawa dadah disyaki syabu atau methamphetamine.

“Susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik telah pergi ke pusat khidmat itu dan telah menahan lelaki berkenaan kira-kira jam 6 petang serta merampas dadah jenis methamphetamine anggaran berat 19 gram,” katanya dalam satu kenyataan.

Suspek yang positif dadah jenis methaphetamine direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Anggota Parlimen Kepong, Yew Jia Haur berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu datang ke pejabat itu di Metro Prima, Kepong pada jam 5.30 petang semalam bagi membuat aduan mengenai kes ugutan dan barang hilang.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai juruteknik perisian komputer itu pernah datang untuk membuat aduan itu pada Januari lalu namun dinasihatkan untuk datang semula beserta laporan polis yang lengkap.

Katanya, ketika sesi aduan kedua itu dijalankan semalam, suspek tiba-tiba mengeluarkan sebuah bungkusan yang didakwa berisi dadah jenis ‘ice’ bagi menjelaskan sebab penyerahan wang tunai RM15,000 itu.

“Dia terus memberitahu pegawai saya bahawa bungkusan itu merupakan dadah ‘ice’, justeru kami membuat keputusan untuk menghubungi pihak polis sementara pegawai saya berbual-bual dengan dia.

“Suspek bertindak mungkin dalam keadaan separuh sedar dan hanya menangis sebaik menyedari tangannya digari anggota polis,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :