SELANGOR

Projek alternatif Shah Alam-Banting siap Disember

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 APRIL: Projek membina jalan alternatif dari Shah Alam ke Banting di Jalan Sungai Rasau 32/22 dijangka siap penghujung Disember ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, projek yang sepatutnya siap pada Disember tahun lalu mengalami kelewatan ekoran pengalihan utiliti dan masalah hakisan jalan.

“Saya sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri yang memaklumkan kelewatan projek itu dan peruntukan juga ditambah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Tapak Perkuburan Kampung Johan Setia, di sini hari ini.

Beliau berkata, pembinaan projek berkenaan turut menyebabkan kejadian banjir kilat sehingga menjejaskan beberapa buah rumah jika hujan berlarutan.

“Saya menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung masalah itu, namun saya berharap penduduk kawasan sekitar dapat bersabar dengan kelewatan projek ini,” katanya.

Projek yang bemula pada 18 Mac 2016 dengan kos RM43.38 juta itu membabitkan kerja naik taraf dua lorong kepada empat lorong bagi mengurangkan kesesakan trafik, merangsangkan ekonomi, mengurangkan risiko kemalangan dan mengurangkan risiko banjir.

Selain itu, kerja menaik taraf longkang, jejantas, laluan pejalan kaki, persimpangan berlampu isyarat turut dilakukan serentak.


Pengarang :