NASIONAL

SPR mesyuarat Jumaat ini tentukan tarikh PRK Sandakan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat Jumaat ini bagi membincangkan tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen P.186 Sandakan selepas penyandangnya, Datuk Stephen Wong meninggal dunia, Khamis lalu.

Mesyuarat khas itu bakal dipengerusikan Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun pada jam 9 pagi di ibu pejabat SPR, Putrajaya, kata Setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar.

“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pada 29 Mac 2019 berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Rakyat bagi kawasan P.186 Sandakan berikutan kematian penyandangnya Ahli Dewan Rakyat, Mendiang Datuk Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh pada 28 Mac 2019,” katanya dalam kenyataan.

Mendiang Stephen, 64 dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu apabila mengadu sakit dada ketika menyertai aktiviti mendaki bukit.

Pengerusi DAP Sabah itu kali pertama menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Liew Vui Keong, dengan majoriti 1,088 undi selepas memperoleh 14,226 undi.

Pada PRU14 lalu, Wong sekali lagi memenangi kerusi Parlimen Sandakan (P186) dengan menewaskan calon BN dengan majoriti 10,098 undi.


Pengarang :