SUKANKINI

Alex Yoong: Anggaran lapan tahun untuk kembalikan F1

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 2 MEI: Bekas pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong, mengakui usaha mengembalikan penganjuran perlumbaan F1 ke negara ini dapat direalisasikan dalam tempoh lebih kurang lapan hingga sembilan tahun lagi.

Alex berkata, jika kita ingin mengembalikan sukan perlumbaan itu, kita perlu bersedia sepenuhnya dalam segala aspek penting.

“kita telah lihat jatuh bangun sukan perlumbaan F1 ini dan kita perlu mengambil iktibar dari apa yang terjadi,” katanya ketika ditemui media di Majlis Pelancaran e-Racing Gran Prix di Pusat Membeli-belah Sunway Velocity di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia juga perlu mendapat sokongan lebih kukuh berhubung perkara itu berbanding pada 1990an dahulu.

“Kita perlu menyokong sepenuhnya pelumbaan ini kerana ia amat penting kepada negara jika ingin berjaya dalam sukan permotoran.

“Jadi kerajaan harus mewujudkan asas yang kukuh dalam sukan permotoran jika ingin membawa F1 kembali ke Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhasrat membawa kembali perlumbaan F1 ke Malaysia kerana masih ramai berminat dalam sukan permotoran itu.

Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang bermula 1999 hingga 2017.


Pengarang :