SELANGOR

MBPJ cari ‘Hero Hijau Ramadan’

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PETALING JAYA, 9 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan program Hero Hijau Ramadan sempena Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna yang dijalankan oleh kerajaan.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporatnya, Ahmad Iskandar berkata, program itu bagi menyaran pembeli supaya membawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan.

“MBPJ melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam akan mengenal pasti Hero Hijau Ramadan dalam kalangan pelawat yang mengunjungi bazar Ramadan.

“Malah, bagi melancarkan gerak kerja Skuad Hero Hijau Ramadan dalam kalangan kakitangan Bahagian 3R, MBPJ akan menubuhkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam,” katanya dalam kenyataan.

MBPJ berkata, terdapat empat kriteria untuk dipilih sebagai Hero Hijau Ramadan, iaitu membawa bakul, beg kitar semula atau bekas sendiri yang boleh diguna semula dan tidak menghendaki bungkusan daripada penjaja bagi sebarang makanan atau minuman yang dibeli.

Selain itu, pembeli tidak menggunakan atau meminta ‘single use straw’ dan mempunyai tingkah laku serta tabiat membeli belah mesra alam.

“Skuad Hero Hijau Ramadan akan melawat bazar Ramadan di bawah seliaan MBPJ secara berkala mulai 4.30 petang sehingga 6.30 petang dan mengenal pasti pelawat yang memenuhi empat kriteria terbabit.

“Pelawat yang dikenalpasti terpilih akan diberikan hadiah cenderahati dan akan bergambar sambil memegang rangka bingkai sebagai tanda perakuan serta motivasi kepada masyarakat lain,” katanya.

Katanya, foto pemenang akan dimuat naik di laman Facebok rasmi MBPJ.

Terdahulu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) melancarkan kempen berkenaan bagi menangani isu pencemaran plastik, sekali gus menggalakkan industri plastik beralih kepada produk mesra alam.


Pengarang :