SASTERA

Kompleksiti Cinderella kental dalam novel popular

Oleh Nazreen Coklat

Di Malaysia, kegilaan khalayak terhadap novel popular bukannya fenomena baharu dalam dunia sastera. Namun, bermula tahun 2010, berlaku ledakan kuat terhadap penerbitan novel popular. Ini demikian kerana novel genre mula diadaptasi menjadi filem atau drama bersiri. Kini, jika diteliti secara purata, empat daripada lima drama bersiri di kaca televisyen dengan jumlah tertinggi ialah drama yang diadaptasi daripada novel popular. Malah, sehingga tahun 2015 sahaja hampir seratus novel popular diadaptasi sama ada ke dalam filem atau drama bersiri. Fenomena ini membuatkan syarikat penerbitan novel popular berlumba-lumba menerbitkan pelbagai judul baharu saban tahun dan membenarkan ia diadaptasi kerana dilihat mempunyai nilai pulangan komersial yang sangat tinggi.

Meskipun begitu, novel popular terus mendapat kritikan hebat kerana masih berpegang pada formula penulisan yang sama dan tidak meletakkan golongan wanita pada kedudukan sepatutnya. Tiada perubahan berlaku dan wanita dalam novel popular  masih berada dalam cengkaman kompleksiti Cinderella yang kuat. Misalnya, ia boleh diteliti dalam novel Asam Pedas untuk Dia karya Nureen Mirza yang laris sejak 2015 hingga kini apabila diadaptasi menjadi drama bersiri televisyen. Pada umumnya, kompleksiti Cinderella merujuk perasaan takut dalam diri wanita terhadap kemandirian atau rasa takut untuk berdikari. Rasa itu hadir secara tidak sedar dan semakin ketara apabila seseorang wanita semakin berusia. Ia diperkenal oleh Colette Dowling pada tahun 1981.

Pemahaman Dowling terhadap kompleksiti berasaskan idea kewanitaan yang digambarkan dalam kisah dongeng iaitu Cinderella seorang yang cantik, anggun, sopan dan rajin tetapi tidak berdaya mengubah keadaan dirinya sendiri. Cinderella harus bergantung pada daya luar iaitu lelaki yang dalam kisahnya merujuk Prince Charming (putera raja). Walaupun, kisah itu sudah lama tetapi ia masih melekat sebagai satu bentuk arketaip terhadap jalan penceritaan yang dikarang dalam novel popular.

Salah satu unsur yang membawa kompleksiti Cinderella ialah bentuk peranan gender yang sangat kental. Gender merujuk satu konsep budaya yang digunakan bagi membezakan peranan, mentaliti, tingkah laku dan emosi antara lelaki dengan perempuan yang berkembang dalam masyarakat. Dalam kisah dongeng Cinderella, kaum lelaki digambarkan mempunyai status dan kedudukan yang lebih tinggi berbanding wanita. Putera raja memiliki harta yang banyak dan mempunyai perwatakan yang gagah. Manakala, Cinderella pula dipotretkan anak yatim piatu yang miskin, tiada berdaya dan gemar untuk membuat segala kerja rumah tanpa sebarang rungutan. Dalam novel Asam Pedas untuk Dia, unsur ini wujud melalui  watak utama iaitu Ainin seorang gadis kampung yang miskin dan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ainin mempunyai kebolehan memasak yang tinggi sehingga diupah oleh keluarga Ziyad sebagai pembantu rumah. Dia sering dipuji kerana masakannya yang sedap dan cekap membuat kerja-kerja rumah. Manakala, Ziyad yang diangkat sebagai hero, diceritakan memiliki firma arkitek tersendiri dan berkelulusan tinggi dalam pelajaran. Kecantikan Ainin dan kemampuannya untuk memasak sentiasa menggugat hati Ziyad. Keadaan memperlihatkan novel itu masih berpegang pada peranan gender yang sama. Kaum lelaki digambarkan sama sekali tidak mampu membuat kerja rumah yang selama ini digalas oleh kaum wanita. Malah, wanita hanya dipuji jika pandai memasak dan cekap menguruskan rumah tangga. Sebarang bentuk kebijaksanaan pemikiran yang ada pada wanita langsung tidak dipedulikan. Malah, kedudukan wanita sentiasa di bawah lelaki termasuk dari segi pendidikan.

Kemudiannya unsur yang membentuk kompleksiti Cinderella ialah keinginan untuk diselamatkan. Cinderella tidak pernah berjuang dengan sendiri bagi mendapatkan kebebasan dan sentiasa merintih pada takdir diri. Dia menanti pertolongan untuk hadir agar berlaku perubahan dalam hidupnya. Maka, di sini watak putera raja bertindak sebagai penyelamat. Tidak kurangnya cerita Ainin dalam novel Asam Pedas untuk Dia. Selain dihimpit dengan kemiskinan, Ainin turut mendapat ancaman daripada Hisyam iaitu tuan rumah tempat Ainin menyewa. Hisyam sentiasa memeras ugut jika Ainin tidak dapat membayar sewa rumah dengan cepat, dia perlu menerima lamaran perkahwinan Hisyam atau keluar dari rumah tersebut. Untuk lari daripada lamaran tersebut, Ainin bersetuju menjadi perempuan simpanan Ziyad melalui perkahwinan rahsia atau kontrak. Ziyad dilihat oleh Ainin sebagai penyelamat dirinya dan tidak menyoal apa-apa jua yang berlaku kemudiannya terhadap dirinya.

Kompleksiti Cinderella seterusnya ialah unsur kesetiaan yang membuta wanita terhadap lelaki. Kesetiaan yang membuta ada pada diri Cinderella apabila tidak pernah melupakan putera raja walaupun pertemuan mereka tidak sampai sehari pun tempohnya. Cinderella langsung tidak sempat mengenali hati budi putera raja secara mendalam. Malah, putera raja hanya tertarik pada diri Cinderella kerana rupa parasnya yang cantik dan gaun luar biasa yang dipakainya semasa majlis tari-menari. Kesetiaan membuta tuli Ainin terhadap Ziyad lebih kritikal. Dalam perkahwinan “kontrak” tersebut, Ziyad tidak pernah berlaku adil pada diri Ainin. Misalnya, Ainin tidak boleh mengambil tahu perihal hidup Ziyad tetapi Ziyad secara sesuka hati menggunakan haknya sebagai mengongkong Ainin. Ziyad menggunakan segala hukum-hakam agama dalam menakutkan Ainin bagi menuntut nafkah zahir dan batin. Malah, sepanjang perkahwinan tersebut Ziyad tidak pernah memutuskan perhubungan cinta dengan kekasihnya, Shafinaz. Keadaan ini membuatkan Ainin terseksa tetapi tidak pernah diluahkannya. Kesetiaan yang membuta tulis terus-menerus menikam Ainin.

Unsur terakhir yang membawa kompleksiti ialah menghindari tentangan. Cinderella tidak pernah melawan ibu dan adik-beradik tirinya walaupun mereka bertindak kejam kepadanya. Dia tidak mahu berhadapan dengan konflik yang ada tetapi sentiasa menghadirinya. Novel Asam Pedas untuk Dia juga memperlihatkan keadaan Ainin yang sama. Ainin tidak pernah memberanikan diri melawan penghinaan yang datang daripada keluarga Ziyad dan Shafinaz kerana berasakan Ainin mengandungkan anak luar nikah. Oleh sebab malu dihina, Ainin membawa diri ke Muar. Dia tidak sanggup berhadapan dengan kedua-dua ibu bapa Ziyad dan tidak berani menuntut haknya sebagai isteri yang sah kepada Ziyad. Tentangan yang ada terus dihindari dan berserah kepada nasib diri.

Jelas, kompleksiti Cinderella sangat kuat mencorak bentuk penulisan novel popular. Watak wanita masih diperlihatkan tidak mampu untuk mandiri. Malah, wujudnya stigma stereotaip gender yang seolah-olah tidak boleh diruntuhkan. Wanita lemah manakala lelaki kuat. Tambahan pula, pemaparan peranan seseorang lelaki dan wanita tidak menepati keadaan masyarakat Malaysia pada hari ini. Selain itu, wanita dalam novel-novel popular diperlihatkan kuat apabila memainkan peranan sebagai ibu dan anak tetapi lemah dan mudah retak apabila hadirnya lelaki. Cinderella tidak patut lagi disamakan dengan wanita Malaysia kerana mereka perlu diangkat seperti puteri-puteri Melayu yang hebat belaka seperti Tun Fatimah, Ratu Ungu, Cik Siti Kembang dan sebagainya.


Pengarang :