NASIONAL

PLUS sedia hadapi kemeriahan aliran trafik sempena Aidilfitri

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG, 24 MEI: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya pada setiap hari puncak sepanjang musim perayaan pada taahun ini.

Ketua Pegawai Operasi, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding 1.7 pengguna pada hari biasa.

“PLUS telah membuat pelbagai persediaan dari segi operasi dan strategi pengagihan trafik dalam usaha membantu pelanggan bergerak dengan selamat dan selesa di samping menjaga mereka sepanjang perjalanan di musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media persediaan PLUS menghadapi pertambahan Trafik dan Kempen Aidilfitri di Dewan Bankuet, Persada PLUS, hari ini.

Menurutnya, PLUS akan menggunakan drone untuk memantau aliran trafik di lokasi tertentu di samping menyediakan kira-kira 5,000 kakitangan bertugas di lebuh raya.

Jumlah itu membabitkan penyediaan 245 pasukan PLUSRonda berbanding 219 pasukan pada hari biasa, menambah 28 peratus kakitangan di Pusat Kawalan Trafik selain menyediakan tambahan kren dan trak tunda.

“PLUS menghentikan kerja menaik taraf di sepanjang lebuh raya dari 31 Mei sehingga 10 Jun.

“Penutupan 73 Lorong Tambah Nilai di Plaza Tol juga dilakukan bermula 30 Mei sehingga 11 Jun bagi mengelakkan kesesakan. Pengguna boleh membuat tambah nilai kad Touch N Go menerusi 67 mesin kiosk layan diri di sepanjang lebuh raya selain di stesen minyak dan kedai serbaneka terpilih,” katanya.

Zakaria berkata, pengguna boleh memuat turun applikasi PLUS App (Official) di Google Play atau Apps Store bagi mendapatkan info lanjut mengenai jadual waktu perjalanan dan melaporkan kejadian kecemasan.

PLUS App (Official) juga membolehkan pengguna mengutip mata ganjaran dan menebus semula bagi mendapatkan hadiah menarik.

Sempena Aidilfitri juga, PLUS menawarkan kopi ‘o’ percuma bermula jam 10 malam di 24 hentian Rehat dan Rawat (R&R) pada 1 hingga 3 Jun ini.

Tidak ketinggalan, tawaran set ‘Value Meals’ di semua R&R dari 1 hingga 3, 8 dan 9 Jun pada harga RM6.90.


Pengarang :