NASIONAL

Pengasas IOI meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 2 Jun : Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan IOI Tan Sri Dr Lee Shin Cheng telah meninggal dunia.

Kenyataan bersama IOI Corporation Berhad dan IOI Properties Group Berhad menyebut Lee, 80, meninggal dunia semalam (1 Jun) setelah lama uzur.

Beliau meninggalkan isteri, enam anak dan 12 cucu.

Anak sulung lelaki mendiang, Datuk Lee Yeow Chor, adalah ketua Pegawai Eksekutif IOI Corporation Berhad dan Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia manakala seorang lagi anak lelaki beliau, Lee Yeow Seng dan anak perempuannya, Lee Yoke Har, masing-masing merupakan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengarah Eksekutif IOI Properties Group Berhad.

Isteri Yeow Seng ialah Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

“Menerusi wawasan, kerja keras dan semangat keusahawanan Tan Sri Dato’ Dr Lee, kedua-dua syarikat ini mendaki puncak sebagai peneraju dalam sektor yang berkaitan.

“IOI Corporation Berhad adalah syarikat minyak sawit bersepadu dan beroperasi di lapan buah negara di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Utara, manakala IOI Properties Group Berhad pula merupakan syarikat pelaburan dan pembangunan hartanah yang penting di Singapura dan China,” jelas kenyataan itu.

Mengenai khidmat komuniti dan industri, kenyataan itu menyebut mendiang Lee adalah penaung dan penasihat banyak persatuan komuniti serta perniagaan di Malaysia, manakala sumbangan paling ketara beliau adalah pembangunan semula Sekolah Menengah Kuen Cheng, yang berusia 111 tahun, atas kedudukan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah sekolah berkenaan sejak lebih 20 tahun lepas.

Badan amal yang diasaskan oleh mendiang, Yayasan Tan Sri Lee Shin Cheng, menyumbang kepada keseluruhan pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Shin Cheng (Harcroft) di Puchong, Selangor, selain pelbagai aktiviti kebajikan komuniti dan pendidikan sejak lebih 25 tahun lepas. -BERNAMA

 

Foto Kredit IOI Properties


Pengarang :