AGENDASUKANKINI

FAM sasar pentas final untuk skuad B-19 negara

KUALA LUMPUR, 18 JUL : Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mensasarkan skuad Bawah 19 (B-19) negara untuk mara ke aksi final Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) di Vietnam yang bermula pertengahan bulan hadapan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, skuad berkenaan perlu mara ke final bagi mencerahkan peluang layak beraksi pada Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020, namun AFC masih belum mengumumkan tuan rumah kejohanan dwitahunan tersebut.

“Sasaran kita adalah pasukan ini layak ke pusingan akhir AFC B-19 2020, dan kita harap pasukan ini akan mempamerkan aksi terbaik pada aksi AFF B-19 nanti,” katanya pada sidang media selepas sesi santai media bersama Presiden FAM di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hamidin turut mengumumkan ahli exco FAM yang baharu, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar dilantik sebagai pengurus skuad B-19 ke kejohanan di Vietnam nanti.

Beliau pada masa sama, yakin dengan kemampuan pengurus pasukan Polis Diraja Malaysia itu membantu membimbing pemain muda negara pada kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Kamarul Ariffin yang ditemui pemberita berkata, beliau bersedia menggalas tanggungjawab yang diamanahkan oleh badan induk itu kepadanya, sambil memaklumkan, akan mengadakan perjumpaan dengan barisan pemain skuad B-19 negara dan pengendali pasukan, Brad Maloney hari ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Hamidin kerana beri kepercayaan untuk mengurus pasukan B-19, dan Insya-Allah, saya akan mencurahkan segala keringat dan pengalaman saya untuk pasukan ini,” jelasnya.

Malaysia berhadapan laluan sukar pada edisi ke-17 kejohanan berkenaan, selepas diundi menentang juara lima kali, Thailand serta juara empat kali, Australia dalam saingan kumpulan B, bersama tiga pasukan lain iaitu Kemboja, Singapura dan tuan rumah Vietnam.

Enam pasukan pula akan bersaing dalam kumpulan A iaitu Myanmar, Indonesia, Laos, Timor-Leste, Filipina dan Brunei Darussalam pada kejohanan berkenaan yang bakal berlangsung dari

Untuk rekod, Malaysia muncul juara buat julung kalinya, selepas mengalahkan Myanmar 4-3 pada aksi final edisi 2018 di Indonesia.

-BERNAMA


Pengarang :