GOMBAK, 28 JUL: Kerajaan Negeri sedia berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan potensi pelajar mendalami sektor perindustrian khasnya membabitkan bidang memerlukan kemahiran tinggi.
Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pada Belanjawan Selangor sebelum ini, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di Selangor.
“Beberapa tahun lepas kita sudah laksana program pemerkasaan sains, teknologi, kejuruteraan termasuk program pengaturcaraan, pengekodan kepada pelajar sekolah menengah serta lepasan sekolah. Ia adalah sebahagian daripada program tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Majlis Perasmian Cabaran Mereka Bentuk Bandar Hijau Pintar 2019 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, pada masa ini Kerajaan Negeri akan berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan berikutan pihak terbabit turut mewujudkan program sama.
Amirudin yakin kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Pendidikan mampu memberi lebih banyak manfaat kepada generasi muda di Selangor.