AGENDASUKANKINI

MBOR iktiraf Viking Clap final Piala FA

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Penyokong pasukan Perak dan Kedah kini boleh berbangga dengan pencapaian mereka di luar padang apabila percubaan ‘penyertaan ‘Viking Clap’ terbesar di Malaysia’ pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong mengesahkan rekod tersebut selepas menjadi salah seorang daripada panel yang menyaksikan 83,520 penonton melakukan aktiviti itu 15 minit sebelum sepak mula aksi itu.

“Satu semangat kesukanan baik yang ditunjukkan oleh penyokong kedua-dua pasukan, saya dapat melihat kepuasan penyokong yang hadir pada malam ini (dalam menjayakan usaha ini).

“Sudah pasti pihak kami sentiasa menantikan-nantikan acara bola sepak terus melakukan usaha mencipta rekod,” katanya menerusi kenyataan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kedah julang Piala FA buat kali kelima selepas menewaskan Perak menerusi jaringan tunggal pemain muda, Fazrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105, pada malam tadi, sekali gus menyamai rekod Selangor sebagai pasukan paling berjaya dalam kejohanan itu.

Sebagai rekod, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini menerima pengiktirafan MBOR, pada 19 Julai lalu selepas muncul juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut bermula 2014.

– BERNAMA


Pengarang :