Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan medal kepada pemain Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor, di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos lalu. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Hadiah bermakna buat Sultan Selangor, penyokong Red Giants

SHAH ALAM, 25 OGOS: Jurulatih Pilihan Selangor, B Sathianathan mendedikasikan kejuaraan Piala Sultan Selangor 2019 (TSSC 2019) kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seluruh penyokong setia skuad Gergasi Merah.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu turut berterima kasih kepada semua anak buah kendaliannya termasuk beberapa pemain PKNS FC selepas berjaya mengekalkan mahkota kejuaraan piala berkenaan yang dimenangi tahun lalu.

Katanya, kemenangan menjulang piala berprestij itu membakar semangat pasukan meneruskan rentak permainan cemerlang dalam saingan Piala Malaysia.

Kapten Selangor, Amri Yahyah merembat bola ke arah gawang gol pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

“Saya tahu mereka (pemain) penat kerana bekerja keras mengharungi tiga perlawanan sepanjang lapan hari, tetapi mereka masih berupaya mengawal permainan dan mencipta banyak peluang dalam kejohanan ini.

“Ramai antara mereka yang boleh dipuji memandangkan corak permainan ditampilkan cukup baik termasuk pemain PKNS FC, walaupun hanya bermain untuk sehari, tetapi kita nampak kualiti dan keserasian dengan pasukan Selangor,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan, di Stadium Shah Alam, di sini malam tadi.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bersalaman bersama pemain veteran sebelum sepak mula Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat bagi menyaksikan perlawanan epik antara dua musuh tradisi, Selangor dan Singapura itu.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abdul Karim Munisar.

Pada aksi 90 minit malam tadi, pasukan pilihan Selangor tidak menunggu lama untuk menjelmakan gol tunggal hasil tandukan penyerang import, Ifedayo Olusegun pada minit ke-18 menerusi gerakan kemas kapten pasukan, Amri Yahyah sekali gus meleburkan hasrat pelawat merangkul trofi kejuaraan itu.

Skuad bawah 15 (B15) tahun Selangor pula menumpaskan Singapura bagi kategori Piala Cabaran Sekolah-Sekolah selepas meraih kemenangan 3-1 pada aksi sebelah petang.

Pemain penyerang pasukan veteran Selangor, Asmawi Bakiri mengawal bola daripada dirampas pihak lawan pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Bagaimanapun, impian skuad veteran Selangor untuk menyapu bersih kejuaraan tidak kesampaian apabila kecundang 0-2 di tangan veteran Singapura menerusi penentuan penalti selepas perlawanan terikat tanpa jaringan.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, beliau berpuas hati dengan kehadiran lebih 50,000 penonton pada perlawanan terbabit, sekali gus menepati sasaran awal ditetapkan sebelum ini.

“Alhamdulillah, syukur kerana apa yang diterjemahkan selama ini akhirnya menjadi realiti dan ini adalah satu penghasilan amat membanggakan. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit bersama dalam menjayakan penganjuran Piala Sultan Selangor 2019,” katanya.

Gelagat penyokong Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Pengarang :