Pasukan Selangor bergambar bersama Piala kejohanan Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Piala Sultan Selangor kekal milik gergasi merah

SHAH ALAM, 25 OGOS: Skuad Pilihan Selangor membuktikan mereka berada di kelas tersendiri apabila berjaya mempertahankan Piala Sultan Selangor 2019 (TSSC 2019) selepas membenam Pilihan Singapura 1-0, di Stadium Shah Alam, di sini, malam tadi.

Kejayaan manis itu sekali gus, menyaksikan Selangor merangkul trofi gah berkenaan buat kali ke-10 sejak ia dianjurkan pada 2001, manakala Singapura kekal dengan rekod lapan kali muncul juara Piala Sultan Selangor termasuk juara bersama pada 2004.

Beraksi di hadapan kira-kira 55,000 penonton, skuad kendalian B Sathianatan bermula agak agresif dengan mengatur serangan bertali arus ke kubu lawan bagi mencari gol awal.

Kapten Selangor, Amri Yahyah merembat bola ke arah gawang gol pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Gol yang dinanti tuan rumah terhasil pada minit ke-18 selepas kapten pasukan, Amri Yahyah yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti mengumpan bola kepada Ifedayo Olusegun dan ditanduk kemas penyerang import Selangor itu.

Jaringan pertama dihasilkan bagaikan meniup semangat Red Giants untuk terus menggempur pertahanan lawan walaupun sering diasak jentera serangan Singapura hingga berakhir babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor terus menggandakan asakan bagi mencari gol tambahan, sementara pasukan pelawat cuba menyusun rentak permainan dengan menyerap tekanan pasukan tuan rumah dan melakukan beberapa serangan balas.

Namun, tiada sebarang jaringan terhasil dan keputusan 1-0 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Gelagat penyokong Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Terdahulu, pada aksi sebelah petang, skuad bawah 15 (B15) tahun Selangor menumpaskan Singapura bagi kategori Piala Cabaran Sekolah-Sekolah selepas meraih kemenangan 3-1 pada aksi sebelah petang.

Sementara itu, skuad veteran Selangor pula terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 di tangan veteran Singapura menerusi penentuan penalti selepas perlawanan terikat tanpa jaringan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan medal kepada pemain Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor, di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Kesemua hadiah kemenangan disampaikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut berkenan menyaksikan dan merasmikan TSSC 2019.

Mengiringi baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Terdahulu, saingan setahun sekali itu turut dimeriahkan dengan beberapa pertunjukan termasuk persembahan artis, pancaran laser istimewa dan bunga api.

Lebih menarik, hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta Honda City turut menjadi rebutan seluruh penyokong kedua-dua pasukan.

Pemain penyerang pasukan veteran Selangor, Asmawi Bakiri mengawal bola daripada dirampas pihak lawan pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019 .Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Antara legenda Selangor yang beraksi pada perlawanan itu termasuk Datuk Soh Chin Aun, Karim Pin, P Maniam, Shahril Majid dan Khalid Ali.

Sementara itu, pasukan veteran Singapura pula menampilkan Fandi Ahmad selaku kapten, Nazri Nasir, Malek Awab dan Razali Saad.


Pengarang :