PBTSELANGOR

Kadar kitar semula MPSJ meningkat 16 peratus

SUBANG JAYA, 29 OGOS: Kadar kitar semula di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) meningkat 16 peratus sehingga pertengahan tahun ini berbanding hanya 1.22 peratus pada tahun 2006 menerusi kempen ‘Waste Wise Cities’.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan aktiviti kitar semula dalam kalangan penduduk sejak kempen `Waste Wise Cities’ diperkenalkan pada 1 Mac lalu.

Katanya, susulan peningkatan tersebut, pihak swasta Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd bersetuju menambahkan 15 lagi kontena kitar semula di kawasan bawah seliaan MPSJ.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan dan Kesejahteraan Bandar Bil 7/2019 meluluskan cadangan penempatan kontena kitar semula itu di beberapa penempatan yang akan diperincikan dalam masa terdekat tetapi keutamaan adalah kepada komuniti berpotensi serta proaktif menyambut seruan `Waste Wise Cities’.

“Kontena ini akan diuruskan secara ‘drop off’ dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) bakal diberi insentif pada hujung tahun selepas pengiraan hasil dikutip,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil 8/2019 di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Noraini berkata, sebelum ini MPSJ menempatkan enam buah kontena kitar semula yang diperuntukkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di USJ Heights, Taman Sungai Besi Indah, Bandar Kinrara 4, Taman Sri Puchong, PJS 7 dan Taman Puchong Utama.

Program ‘Waste Wise Cities’ dilaksanakan selaras dengan kempen yang diperkenalkan oleh agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat).


Pengarang :