Ucapan Datuk Abdul Rashid Asari ketika Program Kejohanan Futsal Pejabat Daerah Klang di Sportizza Klang, Telok Gadong pada 18 Ogos 2019.-Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kejohanan Futsal Piala Pejabat Tanah Klang dan MPKK erat hubungan

SHAH ALAM, 18 OGOS: Kejohanan futsal Piala Pejabat Tanah dan Daerah Klang 2019 dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengeratkan lagi silaturahim antara penduduk setempat.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, inisiatif penganjuran aktiviti itu juga diharapkan menjadi contoh kepada MPKK di kawasan seluruh Selangor.

“Penganjuran kali pertama ini mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada 16 pasukan terdiri daripada golongan belia.

“Saya berharap aktiviti ini sentiasa diadakan pada masa akan datang dan mendapat lebih banyak penyertaan,” katanya kepada SelangorKini.

Abdul Rashid turut mencadangkan kejohanan seumpama itu diadakan di pelbagai peringkat termasuk warga emas.

“Tahun hadapan mungkin kita boleh memperkenalkan aktiviti seperti ini di peringkat usia pelbagai antaranya kategori 40-an, 50-an atau warga emas.

“Saya percaya aktiviti ini dapat menambahkan keharmonian dan penduduk dapat menjalani aktiviti riadah yang sihat supaya mengamalkan gaya hidup yang lebih proaktif,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Klang kawasan Telok Gadong, Jamil Jemain berkata, penyertaan kejohanan itu menarik perhatian penduduk kawasan sekitar.

Katanya, selain mengeratkan hubungan, golongan belia dapat mengelakkan diri daripada sebarang aktiviti atau gejala sosial yang tidak bermanfaat.

“Kita jangka ia akan menjadi aktiviti tahunan dan mungkin juga boleh diadakan dengan lebih kerap,” katanya.


Pengarang :