AGENDANASIONAL

KPM galak graduan jadi felo TFM

KLANG, 1 OGOS : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalakkan lebih ramai graduan cemerlang dan ahli profesional muda supaya tampil menjadi tenaga pengajar atau ‘felo’ secara sepenuh masa di bawah program ‘Teach For Malaysia’ (TFM) untuk membantu pelajar dalam komuniti berkeperluan tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata mana-mana graduan cemerlang dan ahli profesional muda yang berminat dengan program itu akan diberi latihan oleh Yayasan TFM selama lima hingga enam minggu.

Katanya berbekalkan latihan itu, mereka akan ditempatkan di sekolah-sekolah bantuan kerajaan dalam komuniti berkeperluan tinggi sebagai felo yang berfungsi membantu guru-guru menyelesaikan masalah pembelajaran dihadapi oleh pelajar kurang berkemampuan.

“KPM bekerjasama dengan Yayasan TFM untuk mencari lebih ramai graduan dan ahli profesional muda bagi menjadi tenaga pengajar secara sepenuh masa di sekolah dalam komuniti berkenaan.

“Ini kerana pelajar yang membesar dalam keluarga berpendapatan rendah dilihat sering ketinggalan untuk mendapat peluang pendidikan sama rata dengan golongan lain. Disebabkan itu, dengan program ini, lebih ramai graduan cemerlang dapat direkrut untuk menjadi felo dan mengajar di sekolah-sekolah terbabit selama dua tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Teo turut percaya dengan kelangsungan program TFM itu, ia mampu memberi impak jangka masa pendek dan panjang kepada seluruh sekolah-sekolah dalam komuniti B40 di negara ini.

Terdahulu, beliau sempat meluangkan masa hampir sejam menjadi felo jemputan untuk mengajar subjek Geografi kepada 30 pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di sini.

Program TFM atau ‘Mendidik Demi Malaysia’ yang dimulakan sejak tahun 2012 di bawah Rancangan Malaysia ke-10 itu berasaskan kepada konsep mengajar sambil berbakti dipelopori oleh rangkaian global, Teach For All.

Ia memberi peluang kepada graduan cemerlang untuk berkhidmat kepada negara dengan menyertai profesion perguruan setelah menamatkan pengajian di universiti. -BERNAMA


Pengarang :