AGENDANASIONAL

MBM sokong pengenalan semula pendidikan sivik

SHAH ALAM, 14 OGOS: Majlis Belia Malaysia (MBM) mengalu-alukan keputusan kerajaan dan Kementerian Pendidikan untuk mengembalikan pendidikan sivik ke dalam sistem pendidikan negara seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, pengenalan semula pendidikan sivik adalah tepat pada masanya khususnya selepas Kerajaan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Pendidikan kewarganegaraan sudah tentunya antara aspek yang akan diterapkan didalam pendidikan sivik yang baru dilaksanakan ini dan diharapkan penerangan berkenaan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan diberikan penekanan.

“MBM juga berharap konsep Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak Sosial yang menjadi asas kepada kenegaraan Malaysia turut diberi keutamaan dalam pendidikan sivik ini.

“Ini termasuklah, memaparkan toleransi diamalkan oleh pengasas negara ini khusus di dalam menggubal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada kenegaraan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, MBM sedia membantu bagi memastikan Pendidikan Sivik dapat mencapai matlamat khususnya di sektor pendidikan tidak formal.

“Pendidikan Sivik yang bakal diperkenalkan ini akan diserapkan di dalam Subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral adalah amat baik kerana tidak akan membebankan murid dengan subjek baru serta tidak akan meningkatkan kos kementerian,” katanya.

Semalam, Tun Dr Mahathir melancarkan pendidikan sivik sempena Majlis Pendidikan Sivik Kebangsaan 2019 di Dewan De Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya.

Pendidikan sivik bakal dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan.

Terdahulu, ia pernah dijadikan satu subjek khusus pada 2005 sebelum dimansuhkan pada 2013 bagi sekolah rendah dan sekolah menengah pada 2017.


Pengarang :