AGENDANASIONAL

Maqis rampas serbuk kuning telur dari India

BUTTERWORTH, 14 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas serbuk kuning telur dari India yang dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah seperti tiada import permit (IP) di Pelabuhan Dermaga Dalam (DAD), di sini semalam.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, pihaknya membuat pemeriksaan pukul 5 petang dan mendapati sebanyak 750 kilogram (kg) serbuk kuning telur dianggarkan bernilai RM17,909.66 cuba dibawa masuk tanpa dokumen yang sah.

“Maqis telah mengeluarkan kompaun kepada pengimport tersebut setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya serta peringatan kepada pengimport supaya mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam keselamatan makanan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan dan tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Sementara itu, Zarina berkata, pihaknya juga berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk produk hasilan haiwan dari pelbagai negara tanpa dokumen yang sah seperti IP dan sijil kesihatan dari negara asal di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan sepanjang bulan Julai sehingga semalam, pihaknya telah membuat rampasan pelbagai daging haiwan seperti daging babi, itik, lembu dan kambing dengan anggaran berat sebanyak 80 kg.

“Perbuatan mengimport produk hasilan haiwan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan menurut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, produk daging-daging itu adalah untuk mencegah penularan penyakit seperti virus African Swine Fever (ASF) yang boleh disebarkan melalui babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai, sosej dan sebagainya.

Semua rampasan itu dihantar ke Stesen Kuarantin Haiwan (SKH) Batu Maung untuk tindakan pelupusan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :