SELANGOR

Pasangan Diraja Selangor prihatin nasib kucing jalanan

SHAH ALAM, 4 OGOS : Sifat peribadi mulia Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Norashikin yang begitu menyayangi kucing terserlah apabila baginda diantara yang lantang bersuara ketika kes penderaan kucing yang berlaku sebelum ini.

Namun ianya bukan sampai di situ sahaja, Tengku Permaisuri bersama DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga amat prihatin dengan nasib kucing jalanan terutamanya yang berada di sekitar kediamam rasmi baginda.

Itulah rahsia yang dikongsi Pengerusi Bersama Stray Free Selangor (SFS), Datin Dr Norely Abdul Rahman ketika Program Sembang Santai ‘Cat Adoption’ sempena Karnival 3W peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Norely berkata, Tuanku Permaisuri seringkali menyediakan makanan juga minuman buat kucing jalanan.

“Sultan dan Permaisuri juga telah membina ‘dining gazebo’ yang mana rekaannya telah diilhamkan oleh Tuanku Sultan sendiri untuk kucing jalanan.

“Untuk makluman, baginda juga turut mengambil langkah menjaga kebajikan kucing jalanan dengan menjalankan proses pemandulan bagi mengurangkan populasi haiwan jalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sembang santai bersama Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Dr Khairina Akmar Khalid dan Dr Puteri Azaziah Megat Abd Rani.

Turut mencemar duli dalam acara berkenaan ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja bagi Kempen Stray Free Selangor (SFS).

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan isteri, Masdiana Muhamad dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Norely berkata, Kempen SFS yang bermula sejak 23 Mac 2017 itu telah berjaya memandulkan hampir 4,500 haiwan jalanan menggunakan dana terkumpul.

Katanya, kaedah tangkap dan bunuh sebagai langkah pengawalan haiwan jalanan adalah sudah ketinggalam zaman.

“Kita mesti menjalankan strategi pengawalan dengan langkah yang lebih berperikemanusiaan, berkesan dan menjimatkan kos dan inilah konsep SFS.

“Dari kempen ini kami mahu mendidik masyarakat untuk menjadi lebih peka, prihatin dan bertanggungjawab terhadap haiwan,” katanya.


Pengarang :