Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penghantar barang dijel enam bulan kerana mencuri

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Gara-gara memecah masuk rumah dan kedai makanan serta mencuri dua bekas kaca mengandungi sejumlah wang, seorang penghantar barang dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Muhamad Afza Daniel Hashim, 29, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Bagi kesalahan memecah masuk rumah dan mencuri dua bekas kaca yang mengandungi wang kertas dan syiling, dia dihukum penjara enam bulan manakala bagi pertuduhan memecah masuk sebuah premis makanan, tertuduh turut dihukum penjara enam bulan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 9 Julai lalu.

Dia didakwa memecah masuk rumah dan mencuri wang itu di sebuah pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Cheras di sini pada jam 7 malam, 17 Jun 2018 dan memecah masuk sebuah premis makanan di pusat beli-belah Lot 10, Jalan Sultan Ismail, di sini antara pukul 3.03 pagi hingga pukul 3.59 pagi pada 21 November 2017.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda dan jika kesalahan adalah curi, hukuman penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun.

Tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Abdullah Abdul Malik merayu hukuman ringan kerana dia telah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia tiga bulan dengan pendapatan RM1,500 sebulan manakala Timbalan Pendakwa Raya, Wafa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

– BERNAMA


Pengarang :