SHAH ALAM, 21 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik bekas Dato’ Pengelola Dato’ Bijaya Diraja, Dato’ Zakaria Abdul Rahman sebagai Dato’ Diraja Selangor yang membawa gelaran Yang Dihormatkan Dato’ Sri Alam Diraja.
Pelantikan ini selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 38 (XXXVIII) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Pelantikan ini dilangsungkan dalam Istiadat Pengurniaan Di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Pada istiadat sama, Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni pula menerima watikah pelantikan sebagai Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Pelantikan yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2020 itu selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 (ENPAINS 2003) di bawah Seksyen 11 (1) (d).
Enakmen terbabit menyatakan anggota majlis hendaklah tidak kurang lapan orang di mana lima daripada mereka hendaklah arif dalam agama Islam.
Baginda turut berkenan melantik bekas Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar sebagai Setiausaha MAIS bagi menggantikan Dato’ Bakhtiar Hussin yang bersara pada 18 Disember 2018.
Pelantikan itu selaras dengan EPAINS 2003 di bawah seksyen 16 (1) dan berkuat kuasa sehingga 16 Julai 2022.
Manakala Mohd Hafiz Ab Aziz dan Hazman Che Mohamed daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilantik sebagai Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Selangor.
Pelantikan ini selaras dengan ketetapan hukum syarak yang dinyatakan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di bawah seksyen 28 (2).