AGENDABERITA UTAMANASIONAL

JPT gugur dua program pengajian di UniMAP

ARAU, 25 SEPT: Dua program pengajian Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang digugurkan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) adalah kerana kurangnya pelajar memohon bidang berkenaan.

Dua program tersebut ialah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam bidang Kejuruteraan Fotonik dan Kejuruteraan Rangkaian Komputer.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, dua program tersebut telah dibincangkan di dalam mesyuarat senat UniMAP dan telah diputuskan bersetuju untuk menggugurkan dua program pengajian itu.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi JPT bukan sesuka hati untuk menggugurkan mana-mana program di universiti tanpa sebab yang munasabah.

“KPM telah mengarahkan UniMAP agar menjadi salah satu daripada empat universiti teknikal (MTUN-Malaysia Technical University Network) untuk memperbanyakkan program berbentuk latihan.

“Kerana itu, program yang telah digugurkan digantikan dengan program-program yang menjurus kepada ‘hands-on’. Mana-mana universiti di negara ini, memang akan ada penilaian semula bagi setiap program. Jadi, akan ada yang digugurkan atau dihentikan sementara,” katanya di sini, hari ini.

Badlishah diminta mengulas laporan akhbar kelmarin berhubung JPT menggugurkan 38 program akademik kebanyakannya sains dan kejuruteraan peringkat sarjana muda dan sarjana di 19 Universiti Awam (UA) kerana tidak relevan dengan keperluan semasa industri dan masa depan graduan.

Keputusan itu dibuat kerana bidang pengajian pada peringkat sarjana dan sarjana muda tidak menjanjikan peluang pekerjaan terbaik kepada graduan sejajar permintaan semasa industri.

Daripada 19 UA itu, setiap universiti menggugurkan sekurang-kurangnya dua kursus pengajian dan beberapa lagi program akademik turut dalam pemerhatian, sama ada digugurkan atau distruktur semula selaras perubahan pasaran pekerjaan dalam negara.

Menurut Badlishah, pelajar-pelajar yang sedang dan masih berada di dalam program pengajian akan diteruskan sehingga pengajian pelajar itu tamat.

Beliau turut tidak menolak akan meneruskan program tersebut sekiranya mendapat permintaan pada masa hadapan.

– BERNAMA


Pengarang :