EXCOSELANGOR

Pertimbang keperluan tambah pusat kumpul e-sisa

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kerajaan Negeri melihat keperluan untuk menambah pusat pengumpulan sisa elektronik dan elektrik (e-sisa) sebagai pendekatan mengekang isu lambakan sisa buangan jenis itu di Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, sebanyak 33 pusat pengumpulan sampah jenis elektronik yang terdapat di Selangor setakat ini masih belum mencukupi.

“Kita mengenalpasti 33 pusat pengumpulan e-sisa yang menempatkan sisa buangan elektronik seperti komputer, telefon bimbit, mesin pencetak, cakera padat digital (DVD), dan perkakas rumah.

“Bagaimanapun, jumlah ini belum cukup dan kita perlu tambah lebih banyak lagi supaya orang ramai boleh membuang sampah pepejal mereka di tempat yang sepatutnya memandangkan ia adalah sampah paling berbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Pengurusan Sisa Pepejal Antarabangsa (ICEWM 2019), di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Pengurusan dan Penyelidikan Alam Sekitar Malaysia (ENSEARCH) merangkap Pengerusi Penganjur ICEWM 2019, Datuk Ir Othman Abdul Rahim dan Presiden ENSEARCH, Gobinathan Kumaran Nair.

Terdahulu, persidangan selama dua hari bermula semalam anjuran ENSEARCH dengan kerjasama Persatuan Biogas Sedunia (WBA) itu bertujuan memaparkan Malaysia sebagai lokasi tumpuan yang sentiasa mengamalkan pengurusan sisa pepejal secara baik dan mampan.

Pada masa sama, Sze Han berkata, persidangan itu menjadi medium terbaik dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan memelihara alam sekitar.

Katanya, ICEWM turut menghimpunkan pemain industri dan pembuat dasar berkaitan pengurusan sisa pepejal di negara ini termasuk negara serantau untuk mendapatkan lebih banyak idea bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

“Sampah sisa pepejal di kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor adalah lebih kurang 7,000 tan setiap hari berikutan kependudukan yang padat iaitu kira-kira 6.5 juta.

“Justeru, ia adalah cabaran besar bukan sahaja kepada Selangor, tetapi seluruh negara bagaimana kita boleh mengadakan satu kaedah paling baik untuk menguruskan sisa pepejal,” katanya.


Pengarang :