Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyuntik semangat kepada pemain Harimau Malaya menjelang aksi menentang UAE, malam ini. Foto Facebook FAM
AGENDASUKANKINI

Presiden FAM suntik semangat kepada skuad Harimau Malaya

SHAH ALAM, 10 SEPT: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meluangkan masa bersarapan dan memberikan kata-kata semangat kepada para pemain skuad Harimau Malaya menjelang aksi menentang Emiriah Arab Berastu (UAE), malam ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden FAM dan juga Pengurus Pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Penolong Pengurus Pasukan, Dato’ Posa Majais, Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihan serta pegawai pasukan.

“Kita telah memulakan kempen dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Indonesia 3-2 di gelanggang lawan pada 5 September lalu. Jadi momentum dan rentak positif itu perlu kita teruskan pada perlawanan kedua bertemu UAE malam ini.

“Saya harap para pemain akan tampil dengan semangat juang yang tinggi dan mempamerkan persembahan terbaik mereka, lebih-lebih lagi apabila kita akan dibantu dengan sorakan padu puluhan ribu penyokong sendiri di Rumah Harimau Malaya (Stadium Nasional) kita ini,” katanya menerusi laman Facebook FAM.

Aksi kedua Kumpulan G bagi saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada jam 8.45 malam.


Pengarang :