Anthony Loke Siew Fook (da, kiri) bertanya sesuatu kepada pengunjung yang memohon pekerjaan ketika mengadakan lawatan di ruangan gerai pameran kerjaya pada Karnival Kerjaya dan Pendidikan Pengangkutan hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Belia perlu teroka peluang kerja dalam sektor pengangkutan

SEREMBAN, 19 OKT: Banyak peluang pekerjaaan yang boleh diperoleh oleh belia melalui sektor pengangkutan yang kini semakin berkembang pesat di negara ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, masyarakat pada hari ini tidak melihat sektor pengangkutan sebagai sebuah sektor yang besar yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan baik menerusi bidang penerbangan, maritim dan pengangkutan darat.

“Sektor pengangkutan ini begitu luas dan besar dan banyak peluang pekerjaan berhubung kait dengan sektor pengangkutan. Setiap rakyat, setiap orang perlukan perkhidmatan pengangkutan sama ada dari satu tempat ke tempat yang lain dan dengan itu memerlukan banyak tenaga kerja.

“Dalam semua bidang pengangkutan hari ini, ia terus berkembang umpamanya sektor penerbangan yang semakin ramai orang menggunakan penerbangan.

“Dengan adanya pertumbuhan pesat dalam sektor penerbangan, mereka memerlukan lebih ramai tenaga kerja iaitu juruterbang, krew kabin dan jurutera yang menjaga kapal terbang, membuat maintainance, ground handle di airport,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Pendidikan (Sektor Pengangkutan) 2019 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J. Arul Kumar.

Loke berkata, selain sektor penerbangan, sektor perkapalan dan pelabuhan serta pengangkutan darat seperti bas, rel dan e-hailing juga memerlukan tenaga kerja yang ramai dan ini semua merupakan peluang yang dijana melalui sektor pengangkutan.

Terdahulu, ketika merasmikan karnival dua hari itu yang bermula hari ini, beliau berkata ia diadakan bagi memberi peluang kepada anak muda memilih kerjaya yang bersesuaian selain mendedahkan mereka mengenai peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan.

Karnival yang julung kali diadakan ini adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri Sembilan dan JobsMalaysia Negeri Sembilan yang menghimpunkan 40 majikan serta menawarkan lebih 4,000 pekerjaan.

Majikan yang akan menyertai karnival ini antaranya Prasarana Malaysia Berhad, AirAsia, Malindo Air, Pelabuhan Tanjung Pelepas, PUSPAKOM dan Touch N Go manakala jawatan yang ditawarkan pula adalah seperti Pemandu Prime Mover, Mekanik Jentera Ringan & Berat, Pemandu Bas, Pemeriksa Kenderaan, jawatan eksekutif, jawatan dalam bidang jualan, jurutera, programmer serta kru penerbangan.

Sementara itu, syarikat pengendali Lebuhraya Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) yang merupakan satu daripada 40 majikan yang menyertai karnival itu menawarkan hampir 200 kekosongan jawatan bagi dua projek lebuh raya iaitu Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damasara-Shah Alam (DASH).

Karnival itu bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.

-BERNAMA


Pengarang :