SHAH ALAM, 29 OKT: Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) menarik perhatian antarabangsa menerusi kerjasama dengan ‘The Ocean Cleanup’ membabitkan penggunaan inovasi jentera Interceptor yang akan dijadikan sebagai pelengkap kepada usaha pembersihan Sungai Klang sedia ada.
Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor salah satu daripada dua lokasi di dunia yang menggunakan jentera generasi baharu itu, tidak termasuk Rotterdam di Belanda.
Selain Selangor, katanya, jentera terbabit turut digunakan di Can Tho, Vietnam selepas jentera prototaipnya diuji di Jakarta, Indonesia.
“Teknologi Interceptor berfungsi dengan cara memanfaatkan arus sungai bagi memerangkap sampah sarap terapung di sungai dan bukannya dengan cara mengejar sampah sarap berkenaan.
“Ia boleh memerangkap sampah sarap pelbagai saiz dan tidak mengganggu pelbagai jenis pengangkutan yang menggunakan sungai.
“Menggunakan tenaga solar, sistem ini mudah diselenggara dan berupaya untuk beroperasi secara semi-autonomi 24 jam sehari walaupun dalam keadaan ekstrem,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Selangor Maritime Gateaway (SMG) To A Better Tomorrow di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) merangkap Pengerusi Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Raja Shahreen Raja Othman dan Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin.
Pada majlis sama, Westports Holdings Berhad iaitu sebuah syarikat logistik dan pengendali pelabuhan utama di Pelabuhan Klang memberi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM200,000 sebagai menyokong usaha pembersihan sungai oleh SMG.
Amirudin berkata, beliau berharap supaya lebih banyak organisasi akan tampil untuk menjadikan sungai serta pelbagai komuniti dan aspek pelancongan Sungai Klang sebagai anak angkat.
“Saya juga menyeru komuniti peniaga dan pelabur supaya mengambil kesempatan daripada usaha Kerajaan Negeri untuk menghidupkan semula Sungai Klang dan menggunakan projek serta program SMG sebagai batu loncatan untik mengembangkan lagi perniagaan mereka, selain mencari pendapatan baharu.
“Saya mencabar pemaju untuk memulakan merekabentuk hartanah yang menerapkan sungai sebagai sebahagian daripada pelan keseluruhan mereka.
“Sementara itu, perniagaan yang sedia ada di sepanjang sungai perlu mula memikirkan berkenaan manfaat yang bakal diterima dengan menjadikan sungai sebagai laman hadapan perniagaan,” katanya.