Saipolyazan Mat Yusop Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS beri kerjasama siasat isu penyelewengan dana

SHAH ALAM, 15 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan terus memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan membabitkan penyelewengan dana pihaknya dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop berkata, pihaknya sentiasa berkongsi maklumat berkaitan aktiviti pengurusan zakat di Selangor melalui pelbagai medium termasuk media massa.

“Ini termasuk menerbitkan program televisyen bagi tujuan meningkatkan kesedaran berzakat dalam kalangan masyarakat.

“Pelaksanaan penerbitan program televisyen berkenaan diuruskan oleh perunding pengiklanan profesional yang dilantik oleh LZS mengikut prosedur yang ditetapkan, skop dan harga kontrak yang dipersetujui menggunakan dana pengurusan amil,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 13 Oktober lalu, media melaporkan dua pegawai kanan RTM direman sembilan hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung apa yang disyaki salah guna dana LZS.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata kedua-dua pegawai wanita berusia 37 tahun dan 40 tahun itu antara tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan pada 7 Oktober lalu.

Seorang lagi dibebaskan selepas keterangannya diambil.

-BERNAMA


Pengarang :