Salah satu keluarga yang ditempatkan di pusat perlindungan di Nagano, selepas Taufan Hagibis melanda Jepun pada 12 Oktober lalu. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Angka korban meningkat, Jepun bergelut tangani Hagibis

TOKYO, 15 OKT: Jepun menggandakan usaha mencari dan menyelamat mangsa serangan Taufan Hagibis di kawasan tengah dan timur yang mengorbankan hampir 70 nyawa setakat ini.

Memetik laporan AFP, setakat ini belasan mangsa hilang dan 211 lagi cedera dalam tempoh tiga hari selepas taufan itu membawa angin kencang serta hujan lebat.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan berikrar untuk melakukan apa sahaja demi menyelamatkan mangsa dan penduduk yang terjejas.

Penduduk membersihkan rumah yang rosak di Nagano selepas Taufan Hagibis melanda Jepun pada 12 Oktober lalu. Foto AFP

Beliau turut mengarahkan Kementerian Pertahanan negara itu memanggil 1,000 tentera simpanan untuk menyertai 31,000 pasukan aktif dalam operasi menyelamat.

“Sehingga kini, ramai penduduk hilang di kawasan terjejas bencana. Unit penyelamat berusaha untuk mencari mangsa dan menyelamatkan mereka, bekerja siang dan malam,” katanya dalam mesyuarat bencana semalam.

Hagibis yang bermaksud kepantasan dalam bahasa Filipina melanda Jepun pada malam 12 Oktober lalu menyebabkan 138,000 isi rumah tidak memiliki bekalan air, manakala 76,000 lagi bergelap, sekali gus mencetuskan kebimbangan di kawasan utara ketika cuaca bertambah sejuk.

Media tempatan melaporkan sejumlah 176 sungai melimpah terutama di timur dan utara Jepun.


Pengarang :